Posts

Showing posts from 2025

Proses

Proses ini tidak mudah bagi diri aku yang berjiwa rapuh. Aku percaya setiap coretan yang tertulis pasti ada manisnya.  Kadangnya aku jatuh.  Tetap aku bangkit semula. Alhamdulillah, tiada kata selain syukur pada-Nya. Dengan izin-Nya jua aku mampu bertahan semampunya.  Proses ini juga mematangkan jiwa yang terlena dengan desakan dunia. Tiada yang mustahil kerana Tuhan itu tidak akan membebankan hamba-Nya. 

S.A

Mengenali dirimu membuktikan kepadaku bahawa tidak semua insan yang berlatarkan emas sentiasa mendongak ke langit semata. Dirimu tidak sebegitu. Keluargamu juga.  Ketika dirimu hadir dalam memoir tanpa sedar, membuatkan diriku rindu pada "kita" dahulu kala. Saat bergolaknya pertalian kita, dirimu tidak menguar-uarkan kebodohanku. Malah, dirimu berdiam sahaja.  Sekiranya dirimu membaca ini, moga Sang Ilahi dapat membalas segala jua kebaikanmu terhadapku. Moga kebahagiaan bersama keluarga tercinta terus mekar dan dirahmati sentiasa. Apa-apa jua yang diidamkan terus dimakbulkan. Tiada apa yang dapatku balas hanya doa semata.  Sejujurnya, diriku rindu pada "kita". Sahabatku, adindaku, kakandaku,  S.A

Mungkin

Mungkin ceritera kita tidak seperti coretan yang tersemat di dada. Teruskan langkah meski perlu jatuh semula. Agar bisa kita nikmati indahnya di balik ujian Sang Pencipta. 

Rindu

Image
  Sejujurnya hati ini terlalu rindu menjejak bumi Haram-Mu ya Rabb. Tidak kusangka akan dijemput bersama keluarga meski gerangan ayahanda tidak bersama. Saat aku melihat dan merasai suasana di Kaabah ini, air mata tidak henti mengalir mengingati ayahanda tercinta.  Sungguh, tiada lagi tempat seindah bumi Makkah dan Madinah. Bumi yang tidak sesekali mengingatkan diriku tentang peritnya kehidupan realiti. Hanya bersungguh mahu mendekatkan diriku dengan-Mu dan Baginda Rasulullah SAW.  Jemputlah kami semula ya Rabb. Kami rindu. Amat rindu. 

Sekian

Dunia ini hanya realiti semata Jika memendam rasa Ayuh bersemuka dua mata Usah pamer sikap durjana pada mata dunia Kerna tiada siapa yang mahu melihatnya. 

Gayong

Image
  Sebuah nukilan yang kukira cukup hebat dengan mesej tersendiri. Mungkin bagi yang lain tidak sependapat denganku. Tidak mengapa.  Ceritera ini mengangkat hebat dunia silat Gayong yang bukan sahaja sebagai pelindung diri bahkan mewarnai dunia Melayu yang kaya dengan seni.  "Silat aku bukan untuk mencari musuh, bukan juga untuk membunuh. Tetapi untuk menjadikan bangsa aku ampuh." "Kekayaan yang sebenar adalah kehidupan yang tenang." Ini adalah dua kata yang cukup bermakna buat diri. Tertanya aku pada diri sendiri.  Mengapa aku tidak perjuangkan seni ini dahulu kala? 

Tangisan

Kini ia mengalir lagi. Malah lebih deras. Namun Tangisan tidak melemahkan semangatnya Tangisan bisa merawat lukanya Tangisan juga menguatkan dirinya. Usah memandang rendah pada hebatnya sebuah tangisan. Suatu hari, tangisan yang menemani kalian bakal meredakan jiwa sengsara. 

Rutin

Kini, bermulalah kembali rutin harianku di balik tirai duka.  Sendiri dalam tawa. Sendiri dalam hiba. Tiada lain yang kupinta hanya dipermudah segalanya.

Sinar

Sinar di hadapan tidak semestinya menyuluh sepi buat kita semua. Hanya yang terpilih sahaja memerlukan sinar tersebut bagi merawat luka.  Andai ini bukan sinar yang aku perlukan, izinkan sinar yang lain menyuluh juga di lain waktu. Maaf andai aku terpaksa melepaskan sinar ini. Akan aku tunggu kau muncul lagi. 

1341

2 tahun sudah berlalu pergi. Aku sangka penghijrahan ini membawa segala duka hilang menyepi. Bahkan sesak di dada terus meninggi. Tidak terubat luka di hati. Bayanganmu ternanti-nanti. Moga kita bersua kembali.  Kasihmu tiada ganti. Cinta pertamaku, cinta hakiki. Al-Fatihah buatmu, Sabri bin Abd Hamid. 

Episod baharu

Cukuplah air mata dengan penuh detik hiba. Moga yang mendatang dianugerahkan berita gembira pengubat duka.  Aamiin. 

Buah tangan

Image
Hari ini genap 30 hari pemergianmu. Walau hanya sekali kunjunganku tetapi cukup bermakna. Terima kasih kerna menjadi sebahagian yang terindah dalam kehidupanku sahabat syurga. Moga kita bertemu kembali di hari yang ditentukan-Nya.  Al-Fatihah. 

Mudah-mudahan

Setelah bersalaman bersama bonda, pasti mengalir deras air mataku. Perasaan hiba sering terasa mengenangkan bonda perlu kekal sendiri tanpa sesiapa disisinya. Moga suatu hari Sang Pencipta mengizinkan aku pulang menemani bonda di tanah aku dilahirkan. 

Alhamdulillah

 Tidak kusangka tiga bulan yang lalu merupakan tarikh keramat yang mengubah segala perspektif kehidupanku di muka bumi ini. Alhamdulillah syukur atas nikmat-Mu ya Rabb. Moga amanah yang kau pinjamkan ini menjadikan kami lebih taat dan cinta pada-Mu ya Rabb. 

Salam pembuka

 Sudah lama tidak bersua muka meluah rasa di balik tirai hakikat dunia. Moga nukilan yang bakal tiba dapat mengurangkan rasa sesak di dada. Doakan.